Followers

Mighty Jacksparrow is an Earth-based sub-intergalactic blogger who enjoys writing and in the same time entertaining his ever-amusing will-kill-to-read fans with sensationally hilarious and at times dramatic musings. This blog offers endless ideas and results; they might be charming most of the times but could be offending in some others. Therefore, it is always noble to remind that if you enjoy the pieces, carry on reading, but if they upset you, do quietly leave like the evening breeze and not like exploding diarrhea, which exactly what you will look like if you ever lose it on me. Enjoy! :D

Friday, May 19, 2006

Cerita Tentang Atuk

Mari, duduk sini. Kita cerita2 lagi.

Dulu masa kecil2, saya ada seorang datuk. Iyalah, siapa yang tak ada datuk, kan? Cuma saya sempat dengan seorang sahaja datuk saya, iaitu yang di sebelah bapa.

Seawal umur saya 2 tahun lagi, saya dibela oleh datuk dan nenek saya di sebuah rumah papan kecil di sebuah perkampungan pinggir Kuala Lumpur. Perkampungan kecil tepi bandar yang pada ketika itu masih giat membangun. Nak buat macam mana, ibu bapa saya bekerja di Damansara, dan pada masa itu manalah kami mampu untuk menggaji seorang amah di rumah. Lagipun datuk dan nenek saya berkeras hendak menjaga saya di kampung pinggir bandar yang damai itu.

Pukul enam suku pagi, kami sudah meninggalkan rumah dan menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur. Saya masa itu masih lagi berdengkur di tempat duduk belakang kereta dengan bantal busuk saya. Sampai sahaja di rumah datuk, saya didukung oleh ibu saya ke dalam rumah. Tapi selalunya saya akan meronta-ronta hendak turun, untuk didukung oleh datuk yang pada masa itu selalunya berkain pelikat dan berbaju kemeja.

Dan di dalam dukungan datuklah saya melambai jauh ke arah kereta ayah yang semakin lama semakin hilang di mata pandangan saya.

Datuk saya badannya besar, besar betul. Hampir dua kali ganda badan saya sendiri. Maklumlah, orang lama2. Dahulu datuk saya bekerja membuat rumah dan menjadi drebar lori sahaja, tapi mampu membesarkan 12 anaknya sehingga kini berjaya delam hidup masing-masing. Rumah papan di kampung itu juga dibina oleh bapa dan datuk saya sendiri, dan masa itu bapa saya hanya berumur 12 tahun.

Di kampung kecil itu, terletak sebuah sungai hampir 20 meter sahaja dari rumah datuk. Pagi2 buta itu datuk akan mendukung saya menuju ke sebuah pangkin di tepi sungai untuk melihat deruan air sungai yang jernih. Atuk selalunya akan membawa sebotol kicap manis cap kipas udang dan sebatang sudu kecil bersama2nya. Ibu sayalah yang selalunya rajin membekalkan telur separuh masak dua biji untuk atuk tapi selalunya sebiji akan saya lahap disuapkan oleh atuk. Dan kami akan duduk berdua di pangkin itu melihat naiknya sang matahari.

Dalam pukul tujuh empat puluh, atuk akan menghidupkan api berlaukkan tempurung kelapa kering untuk memasak air. Bukan air minum, tapi air untuk saya mandi kerana air kolah di rumah atuk selalunya sejuk. Masak sahaja air, atuk akan memanggil nenek untuk mencampurkan air panas itu dengan sebahagian air kolah simen di bilik air. Sementara nenek memandikan saya, atuk akan memanaskan enjin vespa tuanya di depan rumah dan menunggu saya bersiap di dalam rumah.

Nenek akan memakaikan saya baju dan membedakkan saya. Habis putih muka saya, seperti orang India yang baru pulang dari perayaan wel wel.

Atuk akan mendirikan saya di antara dua kakinya dan saya akan berdiri di atas panel vespa tua itu. Saya dibawa berjalan di sekitar Keramat sebelum berhenti di Pasar Keramat untuk membeli sarapan pagi. Selalunya roti canai kegemaran atuk.

Di rumah, saya akan melantak roti canai dengan gula merah, manakala nenek dan atuk makan bercicahkan kuah dal yang pada masa itu masih pedas bagi saya.

Kemudian, apabila perut sudah kenyang, atuk akan menepuk punggung saya di hadapan tv dan kami akan tidur sehingga menjelang tengahari. Selalunya nenek akan memberus kain di belakang rumah. Atuk akan bangun pada tengahari, tapi saya selalunya akan terlansung sehingga ke petang.

Pukul 3 petang selalunya atuk akan mengajak saya ke kedai pakcik Harun di lorong sebelah rumah untuk mengutip tempurung kelapa untuk dibakar nanti. Selalunya pakcik Harun akan memecahkan sebiji dua kelapa yang dipilih atu untuk mendapatkan tombong kelapa yang berwarna kuning keemasan di dalamnya. Atuk tahu saya gemar sangat dengan tombong kelapa kerana rasanya yang lemak manis. Dan saya seperti biasa akan melahap tanpa meninggalkan sedikit pun untuk atuk.

Atuk akan membawa pulang seguni penuh kelapa kering. Saya sibuk dengan tombong kuning saya.

Kemudian atuk akan membawa saya melihat koleksi burung merpati dan tekukur miliknya yang banyak terkumpul di sebuah sarang besar. Atuk akan menyanyi2 sambil saya mencuit2 burung tersebut. Dan kami akan duduk di sebuah pangkin batu di bawah pokok rambutan depan rumah yang rendang dan sejuk sambil menunggu ayah dan ibu saya pulang dari kerja.

Beberapa tahun selepas itu, saya mulai ke sekolah. Tiap2 pagi atuk akan memimpin saya untuk menunggu bas di tepi jalan. Tangan saya dipegang kemas kerana dia atuk tahu saya tak reti duduk diam. naik sahaja bas, saya akan menangis2 melihat ke arah atuk yang melambai perlahan ke arah saya. Jelas di muka tuanya tergambar riak risau apabila apek cina pembawa bas itu membawa saya jauh dari atuk.

Di tadika saya tak sabar2 hendak pulang ke rumah.

Bas yang sama akan membawa saya pulang ke pangkuan atuk yang setia menunggu di tepi jalan dengan seluar lusuhnya serta singlet putih. Dan saya akan melompat turun dari bas dan memeluk atuk saya. Terlepas rindu saya pada tiap2 pagi tatkala saya berpisah dengan atuk.

Dan kami akan duduk di tepi sungai sambil makan aiskrim dan atuk akan memetik buah ceri masak untuk saya makan. Kadang2 atuk akan membawa lastik getah untuk melastik burung2 gagak yang melintas di hadapannya.

"Nanti pegi sekolah belajar rajin2. Dah besar boleh bawa atuk pergi jalan2."

Atuk sering kali berpesan kepada saya setiap kali saya hendak ke sekolah. Dan setiap kali itu jugalah saya menangis bila bas kuning kontot itu semakin lama semakin jauh meninggalkan atuk yang melambai perlahan di tepi jalan.

Satu hari itu, saya dapat nombor satu dalam peperiksaan, terbaik dalam tiga mata pelajaran. Saya punyalah gembira sehingga tak sabar2 hendak pulang ke rumah. 3 piala berada di genggaman saya untuk saya tunjuk kepada atuk.

Tapi bila saya turun dari bas kuning kontot itu, atuk tidak ada di tempat selalu dia menunggu. Saya heran. Terus saya melompat turun dari bas, kata "Terima kasih uncle" kepada apek cina pemandu bas itu seperti yang atuk ajar, dan kemudian berlari pulang ke rumah.

Ada kereta ayah. Tak kerja ke?

Di dalam rumah saya melihat ayah sedang berbaring di dalam uniform kerjanya, manakala ramai saudara-mara saya berkumpul di dalam rumah. Ibu saya sedang menolong nenek mengemaskan kain baju atuk dan dimasukkan ke dalam beg. Saya tanya ibu, "Mama, atuk mana?"

Mama senyum. Katanya atuk masuk hospital. Demam.

Kemudian ayah saya membawa nenek, ibu dan saya ke hospital untuk berjumpa dengan atuk. Di sana saya lihat ada macam2 wayar masuk ke badan atuk. Atuk tidur, fikir saya kerana saya lihat dia terbaring dan tidak bergerak2. Di sebelahnya ada TV yang terpamer garisan panjang turun naik dan berbunyi dit dit dit.

Saya lihat ayah saya bercakap2 dengan doktor tapi saya malas nak ambil tau. Saya cuma pegang tangan atuk dan berharap dia bangun untuk melihat piala yang saya dapat pagi tadi.

Tak lama kemudian, ayah saya memanggil saya dan ibu saya untuk pulang ke rumah. Walau bagaimanapun, ayah saya meninggalkan kami di rumah dan menuju entah ke mana, saya pun tak tahu.

Dalam pukul 3 petang macam tu, ayah saya kembali ke rumah dengan muka yang sugul. Dia masuk ke bilik dan menutup pintu. Saya dengar ibu dan ayah saya berborak2.

"Mi pegi mandi. Kita nak pegi rumah atuk," kata ibu saya sambil tersenyum.

Saya apa lagi, berlari ke bilik air dan bersiap2. piala2 yang tiga ketul itu saya bawa sekali. Tak sabar rasanya nak jumpa atuk.

Sampai sahaja di rumah atuk, saya lihat ada ramai orang pakai songkok. Saya jadi tak tenteram sebab saya nak jumpa atuk, bukan jumpa mereka semua ini. Ada juga makcik2 bertudung yang keluar masuk dari rumah. Seorang pakcik saya sedang menyiapkan pancang kayu dengan kain putih tergantung di hujungnya. Di dalam rumah saya nampak nenek sedang menangis, dan anak2 nenek yang perempuan juga menangis.

Saya toleh ke belakang dan melihat bapa saya sedang duduk di pangkin batu tempat saya dan atuk saya sering menghabiskan masa bersama2 tiap2 petang. Ibu pula berada di sisi bapa saya sambil mengurut belakang bapa.

Tiga2 piala itu jatuh dari tangan saya.

Saya berlari masuk ke rumah, hanya untuk melihat jasad besar atuk terbaring di hadapan tv tempat saya dan atuk saya sering tidur bersama. Ada sehelai kain batik lepas menutupi jasad atuk.

Saya berlari ke arah atuk tapi saya dipegang erat oleh makcik saya dari belakang. saya menjerit2 meronta2 ingin dilepaskan tapi saya hanyalah seorang budak kecil. Akhirnya saya menjerit2 menangis.

Saya cuma mahu atuk saya.

Bila atuk selesai dikapankan, ibu memimpin saya untuk mencium dahi atuk. Saya cakap dengan atuk (sambil tersedu sedan dengan hingus meleleh2 dari hidung) untuk buka mata sekejap saja. Mi dapat piala hari ini, atuk. Bukalah mata atuk. Mi nak makan buah ceri lagi. Mi nak makan pisang rebus yang atuk selalu masakkan. Mi nak makan tombong kelapa lagi. bangun la atuk. lepas ni siapa nak bawa mi naik vespa pegi jalan2. Baba tak tau naik motor. Atuk, bangun la.



Tapi atuk tak bangun langsung.

No comments: