Followers

Mighty Jacksparrow is an Earth-based sub-intergalactic blogger who enjoys writing and in the same time entertaining his ever-amusing will-kill-to-read fans with sensationally hilarious and at times dramatic musings. This blog offers endless ideas and results; they might be charming most of the times but could be offending in some others. Therefore, it is always noble to remind that if you enjoy the pieces, carry on reading, but if they upset you, do quietly leave like the evening breeze and not like exploding diarrhea, which exactly what you will look like if you ever lose it on me. Enjoy! :D

Friday, May 19, 2006

Sepotong Cerita Dari Masa Silam

Kecil2 dahulu saya bersekolah di sebuah sekolah kecil di pinggir bandaraya Kuala Lumpur.

Budak bandar seperti saya, susah hidupnya. Tambahan pula saya sekolah pagi, dan mak ayah saya bekerja pula. Hendak tak hendak, terpaksalah saya diseret oleh ibu saya ke bilik air setiap pagi untuk mandi. Masa itu Kuala Lumpur masih lagi di era pembangunan. Rumah kami di tepi bukit sering membuatkan saya menggigil ketakutan apabila melihat air kolah batu yang seperti air batu dinginnya.

Kasih ibu membawa ke syurga. Ibu saya akan menjerang secerek besar air panas utuk dicampurkan ke dalam baldi untuk saya mandi. Dan saya pun mandilah dengan senyuman yang lebar seperti bayi2 yang meneran hendak membuang air besar.

Selalunya pada pukul enam suku, saya dan ibu bapa saya akan meninggalkan rumah. Pagi buta, ayam pun masih berdengkur di dalam reban. Tapi pada masa tu Jalan Ampang sudah penuh dengan kenderaan. Kadangkala saya tertidur di dalam kereta sepanjang perjalanan ke sekolah yang mengambil masa lebih kurang 15 minit.

Pukul 6 setengah pagi saya sudah tercegat di depan pintu pagar yang masih belum dibuka lagi oleh pakcik jaga sekolah. Seperti orang bodoh, saya akan duduk melihat kereta lalu lalang di Jalan Semarak (sekolah saya berhadapan dengan Menara Celcom kini). Sesetengahnya akan menurunkan anak mereka, manakala yang lain2 hanya melintas lalu. Itulah rutin saya seharian, dan ianya sangatlah membosankan. Sehinggalah pada satu hari saya ternampak satu kereta mercedes lama berwarna putih yang dipandu oleh seorang tua. Kereta itu berhenti, dan menurunkan seorang kanak2 perempuan baya2 saya.

Walau sudah 12 tahun berlalu, tapi wajah kanak2 itu masih segar dalam ingatan saya. Putih bersih melepak. Berpakaian pinafore biru sahaja. Rambutnya panjang lurus berwarna cokelat muda, diikat seperti ekor anak kuda. Beg kecil tersandang di bahunya. Lawa dan manis pada pandangan mata saya.

Masa itu, maklumlah, nakal. Saya sering bermain bola cop di padang, main kejar2, main sorok2 dan macam2 lagi permainan, termasuklah menconteng kapur di seluar rakan2 saya. Nakal bukan main masa tu. Saya juga sering mengacau rakan2 perempuan saya sampai mereka menangis mendayu2 memanggil mama masing2. Piat jugalah telinga bila si cikgu dapat tau. Nakalnya saya memang tak terkira.

Satu hari, saya menyorokkan satu buku cerita kawan perempuan saya di dalam beg saya sendiri. Curilah, senang cerita. Buku warna-warni tentang puteri raja dan entah apa2 lagi. Sekadar suka2 kata orang.

Pada masa rehat, saya nampak kawan saya menangis mendayu2 kerana bukunya hilang. biasalah, anak perempuan. menekup muka dengan tangan dan menangis dengan kepalanya hilang di celah lengan di atas meja. Kami yang laki2 bersorak sorai di belakangnya sambil menguis kepalanya dengan pembaris kayu 30 sen beli di koperasi sekolah.

Buku itu masih ada di dalam beg saya.

Pada masa untuk pulang menaiki bas sekolah, saya lihat rakan saya yang menangis mendayu2 itu sedang duduk di tepi longkang (dia pulang dengan ayahnya). Dan saya lihat kanak2 kecil yang sering saya usha dan ekori setiap pagi itu duduk di sebelahnya sambil membelai2 kepalanya. Saya dengan penuh minat melihat dan mencuri2 pandang ke arah mereka.

"Itu Mia," kata seorang kawan saya. "budak kelas kita."

Oh, mia namanya. apa nama penuhnya, ya? Saya mencuri peluang berkenalan melalui kawan saya yang duduk di sebelah saya di dalam bas yang penuh dengan budak2 yang sedang berbuat bising sambil menggigit aiskrim potong di mulut.

"Saidatul Maria. Orang panggil Mia."

Wah, kata saya. Saidatul Maria. Sedapnya nama!

Bas yang saya naiki kemudiannya bergerak perlahan meninggalkan perkarangan sekolah. Saya masih lagi mencuri2 pandang ke arah mereka berdua sebelum keduanya lenyap di sebalik asap bas yang hitam dan busuk. Hilang sahaja mereka, saya buka beg saya dan saya keluarkan buku warna-warni yang saya curi dari rakan saya tadi, kononnya untuk menghilangkan rasa bosan. Seronok membacanya, tambahan ada lakaran kartun2 yang menggelikan hati. Saya dengan asyik membelek2 buku tersebut sehinggalah ke muka surat terakhir, yang terconteng dengan satu tulisan yang kemas.

"Selamat hari jadi Saidatul Maria, dari mama dan papa."


Ah sudah...


--------------------------------------


Sampai sahaja di rumah, saya belek2 buku itu. saya baca dan baca dan baca sehinggakan ibu saya naik risau. Kadang2 saya cium buku itu dan memeluknya. Sampai masa tidur, buku itu saya simpan di bawah bantal.

Saya ada juga berkira2 hendak memulangkan kembali buku itu tapi saya takut kerana Mia mungkin akan marah dan membenci saya. Buku itu saya simpan untuk hampir dua minggu. Selama itu jugalah saya membelek2 buku itu dan membalutnya dengan plastik. Lama saya berfikir2, sehinggalah saya tertidur sendiri pada satu hari itu kerana terlalu penat mengelinjang di sekolah.

Seperti biasa ibu saya akan mengejutkan saya, cuma pada petang itu dengan buku kesayangan saya ada di tangannya.

"Mana dapat buku ni?"

"Mi pinjam," kata saya.

"Betul pinjam?"

"Betul.." balas saya.

mama menarik nafas panjang dan bertanya lagi.

"Betul ke pinjam?"

"Err..tak..." saya hanya tunduk kerana takut. Tapi mama saya tak pernah pukul saya pun. Ayah saya sahaja yang rajin berbuat begitu.

Ibu saya kata, baik pulangkan balik buku itu kepada tuan punyanya. Hidup kena tanggungjawab, kata ibu. Saya katalah yang saya takut, tapi mama kata jangan takut. Saya mula2nya tidak mahu, tapi bila dipujuk saya akhirnya berlembut hati. Saya berazam, esok saya akan memulangkan buku tersebut selepas dua minggu berada di dalam genggaman saya.

Seperti biasa esoknya saya akan menunggu mercedes lama itu di depan sekolah, akan tetapi mercedes itu tak kunjung tiba seperti selalu. Sehinggalah saya menaiki bas untuk pulang, saya tidak berjumpa dengan Mia. Mia berlainan kelas dengan saya sebenarnya.

"Mia masuk hospital kena denggi," kata kawan saya di sebelah apabila saya bertanyakan tentang Mia.

"Denggi tu apa?"

"Denggi tu sebab kena gigit nyamuk."

Saya heran. Saya selalu sahaja digigit nyamuk tapi tak pula ibu saya hantar saya ke hospital. Sepanjang perjalanan saya diam membisu sambil memegang beg saya, yang di dalamnya tersimpan kemas buku Mia yang berbalut rapi dalam balutan kertas hadiah. Saya sendiri yang balut, meskipun tidak selawa mana.

Hendak juga saya melawat Mia tapi saya tak tahu dia di mana. Lagipun saya masih budak.

Enam hari berlalu. Mia masih tidak datang ke sekolah. Sehinggalah pada suatu hari, ketika perhimpunan hari Jumaat pagi (sekolah kami ada perhimpunan pada setiap pagi), pengetua menjemput ustaz untuk naik ke pentas dan memberikan ucapan. Saya dan kawan2 seperti biasa gelak sakan di belakang sambil bermain lawan pemadam.

"Anak2 semua, kita bacakan Fatihah ya untuk seorang anak perempuan yang meninggal dunia malam tadi. Rakan kamu juga. Ustaz pasti dengan doa kalian, dia akan dapat ke syurga."

Bila saya dengar, saya jadi gemuruh. Kawan2 saya juga berhenti bermain lawan pemadam dan bermain penutup botol.

"Ada orang mati laa.." kata kawan saya.

Saya tergamam. Siapa yang mati? Saya lihat riak ustaz di pentas tampak tenang dan bersahaja. Alah...mungkin anak ustaz tu kot yang mati.

"Bismillah...mudah-mudahan Allahyarhamah Saidatul Maria Muhammad Syukri akan bahagia di sana nanti. Al-Fatihah, anak2. Bismillah..."

Saya seperti hendak menjerit. Muka saya pucat, tapi terasa darah menderu naik ke muka. Rasa sedih yang tak terhingga. Rasa seperti kehilangan yang amat, seperti kehilangan Ultraman Ace di tangan King Joe (masa itu saya hanya budak2). Saya buka beg dan lihat buku yang berbalut itu ada sedikit terkoyak. Sehingga habis bacaan Al-Fatihah, telinga saya tidak berfungsi langsung.

Sahingga waktu rehat, saya tidak bermaya. Melepek sahaja di atas kerusi. Cikgu saya yang juga seorang perempuan memeriksa saya di dahi. Rupanya saya demam. Terus saya dihantar pulang ke rumah.

Dua hari saya demam. Sepanjang dua hari itu jugalah saya menangis kepiluan. mungkin itulah kali pertama saya merasakan apa itu rasanya sayang dan kehilangan. Saya termimpi2 tentang Mia.

Sejak dari itu, saya tak dapat menerima pemergian Mia. Saya masih menunggu kereta Mercedes putih itu di tepi jalan seperti yang pernah saya buat setiap hari. Saya tidak pernah miss pun menunggu kereta itu.


Tapi kereta itu tak pernah datang.

No comments: