Followers

Mighty Jacksparrow is an Earth-based sub-intergalactic blogger who enjoys writing and in the same time entertaining his ever-amusing will-kill-to-read fans with sensationally hilarious and at times dramatic musings. This blog offers endless ideas and results; they might be charming most of the times but could be offending in some others. Therefore, it is always noble to remind that if you enjoy the pieces, carry on reading, but if they upset you, do quietly leave like the evening breeze and not like exploding diarrhea, which exactly what you will look like if you ever lose it on me. Enjoy! :D

Tuesday, October 31, 2006

Kecundangkah Tun

Nampaknya adab orang Melayu kita kini hanya tertera di dalam buku-buku teks sekolah rendah sahaja.

Kasihan saya pada Tun Mahathir, seorang insan yang telah berjuang dan mengabdikan dirinya kepada kerja keras demi menaikkan martabat negara di mata dunia. Dua puluh dua thun perjuangan, kini beliau hanya dilihat sebagai satu parasit yang membimbangkan.

Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh orang-orang tertentu demi memastikan Tun menutup mulut dan tidak ‘mengkritik kerajaan’. Pada pandangan saya sebagai seorang pemerhati politik (dan juga penyokong Tun serta UMNO yang sejati), saya tidak dapat rasakan bahawa apa yang terjadi pada awalnya sehingga menimbulkan konflik yang sebegini hebatnya bukanlah kritikan Tun kepada kerajaan, tetapi lebih kepada pertanyaan yang melibatkan isu-isu tertentu.

Antara isu yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir sebelum ini adalah berkenaan penjualan MV Agusta pada harga yang sangat rendah (saya tak rasa harga penjualan syarikat itu mampu membeli sebuah motosikal yang dikeluarkannya), pembatalan jambatan bengkok yang sepatutnya menyambungkan Kota Singa dengan semenanjung Malaysia, serta isu berkaitan penjualan AP yang berleluasa.

Kritikankah itu? Pada saya, itu cumalah pertanyaan yang diajukan kepada pihak kerajaan. Masalahnya pihak kerajaan seringkali mengelak dari menjawab soalan yang tiga itu (mungkin kerana jika soalan itu dijawab, ada tembelang orang-orang tertentu yang akan pecah). Maka berlarutanlah perbalahan ini sehingga pada hari ini.

Saya pernah juga menonton bual bicara bersama Perdana Menteri yang dianjurkan oleh sebuah syarikat televisyen tempatan, yang mana telah dihebahkan bahawa Perdana Menteri akan cuba menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Tun pada awalnya, Cuma kali ini jawapan yang akan diberikan boleh ditonton oleh beberapa juta rakyat Malaysia di dalam jajahan Tanah Melayu dan sebahagian Borneo.

Namun saya rasa Perdana Menteri hanya berborak kosong di dalam edisi bual bicara tersebut. Beliau kelihatan seperti tidak yakin dan sering mengelak dalam berbicara hal-hal yang berprofil tinggi.

“Kami batalkan pembinaan jambatan bengkok kerana rakyat Malaysia tidak mahu jambatan itu diteruskan.”

Seingat saya, tidak ada satu pun lagi pungutan suara yang dibuat oleh pihak kerajaan memerintah untuk menentukan berapa ramai yang mahu dan berapa ramai yang tidak mahu langsung jambatan tersebut dibina merentasi selat Tebrau. Jika tiada, maka siapakah yang menjadi wakil rakyat untuk mencapai kata sepakat yang mengatakan sememangnya satu Malaysia tidak mahukan jambatan tersebut?

Yang melucukan, ada pula cerita mengatakan yang Disneyland akan dibina di Malaysia.

Selama 22 tahun kita berada di bawah pemerintahan Mahathir. Dan selama itu jugalah negara kita berjaya menjadi sebuah negara yang sangat dibanggakan. Daripada negara yang hanya bergantung kepada pertanian dan dagangan hasil getah serta kelapa sawit yang sedikit, kita kini mampu memilik segala jenis industri yang bisa menjana ekonomi negara. Sedikit demi sedikit kita sudah mampu untuk memiliki menara kembar Petronas (yang juga lahir di era Mahathir), Litar Formula Satu Sepang, Lapangan Antarabangsa terindah di dunia serta bermacam lagi binaan yang menjadi mercu kejayaan negara. Semuanya muncul di zaman yang kita gelar Era Mahathir.

Cuba kita lihat kembali, selama lebih dua tahun Pak Lah memerintah, berapa banyak mercu negara yang telah dibina? Bagaimana keadaan ekonomi negara kita? Bagaimana pula dengan keadaan politik kita?

Saya simpati kepada Tun. Bukan apa, dahulu masa beliau masih berkuasa, tak ramai dari orang-orang serta menteri bawahan yang berani buka mulut. Siapa tidak tahu yang Tun mana boleh ditegur. Namun saya lebih bisa menerima konsep tersebut daripada melihatkan kesan pemerintahan Pak Lah yang pada saya tersangatlah lembut dan telus, sehinggakan ada menteri-menteri kecil yang tidaklah berkuasa sangat tapi bicaranya macam dialah yang bakal mewarisi tempat Perdana Menteri satu ketika nanti.

Sekarang semuanya sudah terbongkar, yang mana kawan dan yang mana lawan. Sehinggakan ada yang berdarah raja juga inginkan Tun menutup mulut dari terus berkata-kata. Masalahnya, kenapa semua orang takut? Adakah kerana yang bercakap itu adalah Tun Dr. Mahathir bin Mohamed? Jika yang berkata dan mengkritik kerajaan itu adalah

Encik Abu bin Kassim maka rasanya kerajaan tidaklah perlu takut sangat. Pak Lah pun tak perlulah pening-pening kepala sehingga mencemaskan pengikutnya yang juga sibuk memberi kenyataan akhbar menyuruh Mahathir tutup mulut.

“Macam mana anak-anak Melayu nak bersopan kalau menteri sendiri kurang ajar kepada orang tua? Macam mana anak-anak kita nak ingat pada diri dan tuhan kalau menteri sendiri lupa diri dia siapa sebelum dinaikkan menjadi menteri?”

Kali ini saya tidak mahu komen mengenai Datuk Nazri Aziz. Nanti-nantilah dulu. Namun saya ingin memetik A Kadir Jasin di blognya:

"Tiada deskripsi yang tepat dalam bahasa Melayu untuk menyimpulkan kelakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Tetapi, dengan izin, it’s akin to the behaviour of an over-enthusiastic over-grown pup. It’s a bit too old to be a pup but loves to bite the tail of grown-up dogs. Its bite does not hurt but is annoying."

Sayang. Dahulu apabila Tun mahu ‘quit’ menjadi PM dan memberitahu kepada rakyat Malaysia yang beliau sudah mahu berhenti ketika Persidangan UMNO pada tahun 2002, adalah seorang ini yang menangis-nangis di atas pentas memujuk Tun agar jangan ‘quit’. Meleleh-leleh airmatanya. Selepas pengumuman itu, kononnya apabila Tun mahu beredar dari pentas, beliaulah yang membuntut dari belakang selagaknya seorang usher, sehingga patah kasut tumit tinggi yang dipakainya.

Kini beliau adalah salah seorang Melayu yang menjual hak ekonomi orang Melayu kepada orang Melayu yang tidak menjalankan kegiatan ekonomi automotif sepertimana yang diperlukan untuk memperoleh hak pengedaran kereta import ataupun Approved Premit (AP). Adakah orang ini boleh kita katakan pengkhianat Melayu?

Dahulu kedaulatan darah diraja pernah dipersoalkan apabila ada di kalangan kerabat yang berperangai bermaharajalela. Apa sangatlah menjadi keturunan diraja kalau perangai macam setan? Tuhan beritahu kita agar ikut pemimpin yang memimpin ke jalan yang benar, bukan mencederakan malahan membunuh rakyat sendiri tanpa sebab. Pada zaman Tun Razak raja-raja Melayu masih boleh terlepas daripada dikenakan tindakan mahkamah, tapi pada masa Tun Mahathir, semuanya sudah berubah ‘upside down’ kata orang putih. Darah raja kini harus tunduk kepada tindakan mahkamah sekiranya melakukan apa-apa kesalahan yang memerlukan tindakan undang-undang dikenakan.

Adakah kerana itu keturunan raja ada yang menyimpan dendam terhadap Tun Mahathir?

Secara peribadinya saya percaya bahawa selagi Perdana Menteri Malaysia sekarang mengambil keputusan untuk berdiam diri, selagi itulah akan muncul telahan demi telahan dan prasangka buruk kepada kerajaan memerintah. Sikap berdiam diri dan acuh tidak acuh kepada kritikan Dr M membuatkan Pak Lah kelihatan lemah di hadapan lebih 20 juta rakyat Malaysia. Dan ini semestinya bukan sesuatu yang diingini oleh rakyat, terutamanya yang mengundi parti Barisan Nasional.

Kalaupun rakyat masih belum berpuas hati dan yakin dengan kerajaan yang memerintah, pada saya ia bukanlah kerana kecaman dan perbuatan ‘khianat’ yang dilakukan oleh bekas perdana menteri, tetapi adalah kelemahan jentera kerajaan sendiri untuk mematahkan hujah-hujah Dr M yang kukuh dan berbukti.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, sahabat akrab Perdana Menteri dan bekas orang kanan bekas Perdana Menteri membuat kejutan pula dengan mengatakan bahawa Dr M tidak memusuhi Pak Lah, tetapi Dr M mensyaki adanya dalang dari pihak ketiga yang sedang cuba menguasai kabinet.

Siapa agaknya orang ketiga itu?

Mungkin ini menjawab kepada dolak-dalik kerajaan dalam menjawab pertanyaan dan kemusykilan Dr M dan juga kegiatan media milik UMNO sendiri yang meberikan sepak terajang kepada bekas perdana menteri itu.

Ada juga hu ha hu ha yang meminta Dr M dipecat dari UMNO. Lucu. Jika Dr M dipecat, maka beliau adalah ahli politik negara yang disingkirkan daripada Umno kerana mengkritik Perdana Menteri yang membawanya masuk menjadi Ahli Parlimen dan disingkir oleh Perdana Menteri yang beliau sendiri lantik sebagai pengganti.

Seperti biasa Pak Lah enggan mengulas kejadian tersebut dan menyerahkan kepada kementerian-kementeriannya yang nampaknya juga enggan memberikan apa-apa ulasan. Najib jugalah nampaknya yang boleh diharap sedikit.

Sedar tidak sedar sudah ramai menteri dan ahli parlimen (yang sebelum ini tidak popular mana pun) mengambil jalan untuk menyuarakan pendapat mereka di media.

Dan yang paling melucukan, saya rasa kini Najib sudah menjadi jurucakap nombor satu pemerintah. Setiap hari muka beliau sahaja yang terpampang di kaca televisyen, sekaligus menampakkan kebolehan beliau menangani pelbagai masalah dalam satu-satu masa. Dan terdetik di kepala saya: Di mana Abdullah Ahmad Badawi pada ketika ini? Siapakah Perdana Menteri? Jarang sekali saya melihat rupa paras perdana menteri negara saya di kaca televisyen sejak kebelakangan ini.


Or maybe he’s still with his elegant silence?