Followers

Mighty Jacksparrow is an Earth-based sub-intergalactic blogger who enjoys writing and in the same time entertaining his ever-amusing will-kill-to-read fans with sensationally hilarious and at times dramatic musings. This blog offers endless ideas and results; they might be charming most of the times but could be offending in some others. Therefore, it is always noble to remind that if you enjoy the pieces, carry on reading, but if they upset you, do quietly leave like the evening breeze and not like exploding diarrhea, which exactly what you will look like if you ever lose it on me. Enjoy! :D

Monday, January 08, 2007

Mukhriz Mahathir: Hala Tuju Baru?

Maka apakah mohon maaf Ahli Majlis Kerja (Exco) Pemuda Umno Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir, baru-baru ini kerana didakwa “memperlekehkan” ucapan presiden parti bulan lalu sesuatu yang pokok atau sekadar “mohon maaf Bujang Lapuk” seperti dalam lirik lagu seniman agung Allahyarham P Ramlee itu?

[Saya sengaja melabelkan P Ramlee seniman agung dan bukan bekas seniman agung kerana walaupun dia sudah lama meninggal dunia, namun seni dan karyanya tetap subur dan agung. Tiada pengganti kepadanya. Legasinya segar dan tidak tercabar.]

Mengikut istilah yang digunakan oleh media massa arus perdana berbahasa Melayu, Mukhriz telah “memperlekehkan” ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada persidangan tahunan parti di Kuala Lumpur bulan lalu.

Secara ringkas, apa yang nampaknya dimaksudkan oleh Mukhriz dalam kenyataan yang dilaporkan (hanya) oleh akhbar berbahasa Inggeris The Star ialah tiada apa-apa yang baru balan ucapan pembesar nombor satu Umno itu.

Saya tiada berhak bertanya soalan di atas kerana saya tiada berkemampuan menilai sama ada Mukhriz ikhlas atau tidak dengan mohon maafnya itu.

Yang pasti adalah Mukhriz telah dibelasah secukupnya oleh para penyokong Perdana Menteri dan berita itu telah pun menguar-uarkannya ke seluruh pelosok negara oleh media massa arus perdana.

Exco Pergerakan Pemuda dalam mesyuaratnya pada 30 November telah menerima permohonan maaf dan penjelasan Mukhriz Mahathir.

Menurut laporan Utusan Malaysia, mesyuarat itu juga dimaklumkan bahawa Mukhriz akan bertemu Perdana Menteri bagi memberikan penjelasan berhubung kenyataannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, berkata tiada tindakan dikenakan ke atas Mukhriz selain memberi amaran keras kepadanya supaya tidak membelakangkan prinsip pergerakan itu ketika membuat sebarang kenyataan.

Saya juga tidak akan mencari jawapan kepada soalan apakah Mukhriz tidak dikenakan sebarang tindakan selain diberikan amaran keras kerana dia aak Tun Dr Mahathir Mohamad atau kerana hujahnya mengenai ucapan Abdullah masuk akal atau kerana bimbang tindak balas sekiranya dia dikenakan tindakan.

Sengaja disebutkan bahawa tidak seperti Hishammuddin dan timbalannya Khairy Jamaluddin (yang menang tanpa bertanding), Mukhriz mendapat sokongan besar dalam pemilihan pucuk pimpinan pergerakan itu dua tahun lalu.

Yang saya rasa banyak orang ingin tahu adalah apa akan terjadi kepada masa depan politik Mukhriz akibat daripada peristiwa ini?

Apakah ia akan menjadi ciri baru kepada persaingan antara tiga pembesar muda Umno ini? Atau ia menandakan permulaan kepada akhiran politik Mukhriz?

Apa pun kesudahannya, faktor keluarga dan pertalian memainkan peranan di dalam kehidupan politik tiga watak Pemuda Umno ini. Hishammuddin adalah anak Allahyarham Tun Hussein Onn. Khairy Jamaluddin adalah menantu Abdullah Badawi. Mukhriz adalah anak Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir ada dua orang anak yang cergas di arena politik -- Mukhriz dan abangnya Mokhzani. Tetapi jelas dalam pergolakan sekarang Mukhriz adalah anak Dr Mahathir yang sanggup mempertaruhkan masa depannya untuk mempertahankan bapanya secara terbuka.

Ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan kerana tentu banyak pihak menuduhnya memihak kepada bapanya kerana pertalian darah dan bukan kerana perjuangan.

Tetapi inilah risiko yang perlu dipikulnya dan yang sekali gus menjadi beban dan penawar kepada perjuangan politiknya. Kalau dia selamat, dia akan menjadi pemimpin yang berprinsip dan teruji.

Buat seketika saya berasa bahawa tindak-tanduk Mukhriz di akhir-akhir ini, khasnya mohon maaf beliau, adalah mirip pembesar-pembesar Umno dewasa ini yang hanya tahu mencari jalan selamat.

Tetapi apabila saya menerima SMS daripada seorang bekas wartawan politik, saya berasa mungkin ada baiknya Mukhriz mengambil tindakan berkenaan iaitu meminta maaf walaupun apa yang dihujahkannya itu tidak semestinya silap.

Rakan wartawan itu menulis: “Elok juga macam itu (memohon maaf). Kalau tidak nyawa singkat. Cara (untuk) membuktikan pembesar-pembesar dan konco-konco mereka tidak hadhari.”

Namun, laluan di hadapan tidak mudah bagi Mukhriz. Hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri adalah kritikal. Jika dia dilihat sebagai telah menyerah kepada tekanan dan mengabaikan perjuangan, dia akan hilang sokongan di kalangan penyokongnya.

Jika dia dilihat sebagai penentang, dia akan diserang habis-habisan oleh jentera parti dan media massa arus perdana.

Dia boleh memilih menjadi seperti pembesar-pembesar politik arus perdana yang lain dengan mengamalkan prinsip “if you can’t beat them join them” -- masuk kandang kambing membebek, masuk kandang kerbau menguak.

Atau dia boleh terjun ke kandar harimau dan mencuba menjiwai pepatah Melayu “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.”


accredited : akadirjasin.blogspot.com

Krisis GLC dan Sindrom Baru Pembayar Cukai?

APAKAH pemerintah, pengguna, pembayar cukai dan pengundi Malaysia begitu tidak berdaya sehingga terpaksa menjadi hamba kepada pemegang-pemegang konsesi kemudahan awam nasional?

Bagi pemerintah, inilah gambaran dan hujah yang disogokkan kepada pengguna, pembayar cukai dan pengundi setiap kali ia mengizinkan kenaikan tol dan tarif oleh pemegang-pemegang konsesi ini.

Alasan yang diucapkan ke sekian kalinya oleh pembesar-pembesar negeri sehingga sudah menjadi klise – kata-kata kosong yang tidak bermakna -- ialah pemerintah tertakluk kepada syarat-syarat perjanjian konsesi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pula, alasan itu dibuat dengan nada yang menyalahkan pemerintah terdahulu kerana menandatangani perjanjian-perjanjian konsesi berkenaan.

Banyak persoalan dan soal yang boleh ditimbulkan oleh masyarakat umum, oleh pengguna, pembayar cukai dan pengundi jika mereka mahu. Masalahnya ialah masyakat pengguna, pembayar cukai dan pengundi Malaysia sudah menjadi terlalu dayus dan terlalu pasif.

Misalnya kita boleh bertanya apakah beza antara pemerintah hari ini dengan pemerintah terdahulu yang merundingkan dan menandatangani perjanjian-perjanjian konsesi ini?

Bukankah Datuk Seri Abdullah Ahmad, Datuk Seri Najib Abdul Razak, Datuk Seri S Samy Vellu dan majoriti anggota Kabinet sekarang adalah juga anggota pemerintahan yang lampau?

Kalau pemerintahan sebelum ini yang mempelopori penswastaan dan merundingkan perjanjian-perjanjian konsesi boleh menangguhkan atau mengehadkan kenaikan tol dan tarif, mengapakah pemerintahan sekarang tidak boleh?

Apakah kepentingan pemegang-pemegang konsesi yang berupa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa individu yang berjaya kerana ihsan kerajaan lebih penting daripada 24 juta pengguna, 3.5 juta pembayar cukai (cukai pendapatan saja) dan 10.3 juta pengundi?

Mengapakah seorang menteri yang begitu gah dan bercakap besar seperti Samy Vellu mempersembahkan dirinya sebagai amat tiada berkuasa, amat tiada berdaya dan amat tiada berpengaruh apabila berdepan dengan pengurus-pengurus GLC dan dengan beberapa orang individu yang menjadi kaya raya atas ihsan kerajaan itu?

Atau apakah pengurangan defisit dan pengimbangan belanjawan ala Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang nampaknya menjadi mantera pemerintahan sekarang lebih penting daripada kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata?

Najib pernah menyebut kepada saya secara peribadi bahawa saya sepatutnya lebih simpati dengan kerajaan kerana saya (kononnya) memahami isu-isu ekonomi dan perniagaan.

Tanggapan Timbalan Perdana Menteri tentang saya faham isu ekonomi dan perniagaan mungkin betul dan mungkin juga tidak.

Namun jawapan saya kepada beliau mudah sahaja --- bukan kewajipan rakyat jelata memahami dan bersimpati dengan kerajaan, tetapi adalah kewajipan kerajaan memahami, bersimpati dan mengatasi masalah rakyat jelata.

Itulah inti pati kontrak antara kerajaan dan rakyat jelata yang ditandatangani melalui peti undi setiap lima tahun sekali – yang terakhir pada tahun 2004.

Sudah sampai masanya bagi kerajaan sekarang yang sangat megah dengan mandat besarnya memikirkan semula kaedah pelaksanaan projek-projek kemudahan awan dan penguatkuasaan perjanjian-perjanjian konsesi agar isu kenaikan mandatori tol dan tarif dapat diatasi.

Ini boleh dimulakan dengan merunding dan menandatangani perjanjian konsesi yang lebih fleksibel dan tidak membebankan pengguna dengan pemegang konsesi projek-projek baru seperti Jambatan Pulau Pinang Kedua dan Monoril Georgetown.

Di pihak mereka pula, pengguna, pembayar cukai dan pengundi akan terus menjadi “mangsa” perniagaan raksasa dan francais nasional (seperti gula, gandum dan beras) jika mereka terus pasif dan sekadar bersungut sahaja.

Mereka harus berfikir mengenai ironis keadaan dan nasib mereka sekarang. Mereka memberi mandat besar kepada kerajaan dan membayar cukai kepadanya.

Dengan mandat yang ada kepadanya kerajaan menggunakan pendapatan cukai mereka untuk menubuhkan GLC dan memberikan kontrak berbilion ringgit kepadanya. Bukan itu sahaja. Banyak GLC dan pemegang konsesi raksasa diberikan pinjaman mudah (soft loan) oleh kerajaan untuk melaksanakan projek mereka.

Pemegang konsesi ini pula memberikan kontrak pembinaan projek kepada anak syarikat mereka sendiri dan mengaut keuntungan awal.

Apabila projek siap untuk digunakan, beban dipindahkan kepada pengundi dan pembayar cukai “kerana kerajaan tidak mampu menanggung beban.”

Kalau rakyat jelata, pengguna, pembayar cukai dan pengundi Malaysia mahukan kontrak sosial yang lebih adil, mereka harus memikirkan semula “perjanjian” di antara mereka dengan parti-parti politik yang menyembah mereka pada setiap pilihan raya.

Mereka memerlukan kerajaan yang bersimpati dengan mereka dan bukan yang memohon simpati daripada mereka. Kerajaan yang memikul beban mereka bukan memindahkan beban kepada mereka.

Ke manakah perginya wang berbilion ringgit yang dijimatkan apabila kerajaan menarik balik subsidi petroliam sehingga menyebabkan harga petrol, diesel dan gas masak naik mendadak awal tahun lalu?

Ke manakah perginya keuntungan Petronas dan GLC yang berpuluh bilion itu?

Kita harus memikirkan semula dan memastikan apakah jalan raya, bekalan air dan elektrik masih berupa perkhidmatan awam (public services) yang menjadi kewajipan pemerintah atau sudah ditukar menjadi perniagaan besar.

accredited from akadirjasin.blogspot.com