Followers

Mighty Jacksparrow is an Earth-based sub-intergalactic blogger who enjoys writing and in the same time entertaining his ever-amusing will-kill-to-read fans with sensationally hilarious and at times dramatic musings. This blog offers endless ideas and results; they might be charming most of the times but could be offending in some others. Therefore, it is always noble to remind that if you enjoy the pieces, carry on reading, but if they upset you, do quietly leave like the evening breeze and not like exploding diarrhea, which exactly what you will look like if you ever lose it on me. Enjoy! :D

Monday, November 16, 2009

Ajib


This, was one of my highly celebrated in-Malay short story of all these years since I started writing. This was from a few years back, and as you can notice the style of writing was rather shallow and naive. Nevertheless it is worth reading. Please drop some comments for my improvements. Thank you so much.


* * *


"Tumpang tanya," lelaki itu berbicara.

Sekali pandang mukanya nampak resah, seakan kerisauan. Renik peluh merembes dari celahan
roma di mukanya yang ditumbuhi jambang tebal. Riak wajahnya menampakkan sedikit kematangan walau usianya tampak lebih muda daripada bilangan kerut di dahinya.

"Ada nampak Nadia?"

Lelaki ini cukup popular di kawasan rumah kami di Kampung Keramat. Lingkungan pertengahan 40-an, bertubuh tinggi lampai dan berdada bidang. Jambang yang tumbuh melata di pipi dan dagunya menyerlahkan tulang rahangnya yang tegap dan bersegi. Rambut hitam lebat dan agak panjang tetapi kemas melengkapkan rupa parasnya yang tampak kacak dan matang, bijak dan berpengalaman.

Sering kelihatan duduk bersendirian di stesen bas lama di sebelah kawasan perumahan rumah kami, lelaki ini cukup dikenali ramai. Bukan hanya kerana parasnya yang bisa merenggut jiwa
mana-mana wanita yang lemah diruntun wajah kacak lelaki itu, tetapi juga kisah tentang dirinya sendiri yang sering menjadi bualan orang ramai.

Kami panggil dia Ajib.

Ajib ini pandai budaknya. Siapa yang duduk kawasan rumah kami yang tak kenal Ajib? Semua orang kenal Ajib. Ajib tak pernah gagal untuk menjadi murid nombor satu di sekolah rendah di penempatan kami ini. Sama juga ketika di sekolah menengah. Ajib merupakan hero kawasan kecil kampung tempat kami menetap. Ajiblah orang pertama yang berjaya memecahkan kebuntuan bertahun lamanya untuk melihat anak didik sekolah di kampung mendapat kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan. pendidikan rendah dan SRP, Ajib sapu habis dengan membolot semua A dalam semua matapelajaran.

Hebat.

Sejak dari itu nama Ajib sering disebut-sebut oleh jiran tetangga. Anak-anak kecil disogok dengan kisah Ajib, seolah menjadi satu inspirasi besar kepada kami termasuk saya sendiri yang masa itu masih di peringkat sebelum hingusan.

Ajib juga pandai mengaji. Sedap suaranya, rajin pula ke surau. Mana orang tak sayang pada Ajib. Sopan santunnya pada orang-orang tua juga menyebabkan ramai dari golongan ibu merebut Ajib untuk dijadikan calon menantu, walau pada masa itu Ajib masih belum mencecah umur 20 tahun pun. Tak kurang dari itu, gadis-gadis yang baru tumbuh memekar (bertemankan ibu masing-masing) juga sering mengintai dari balik cermin tingkap rumah acap kali Ajib melintas di depan rumah waktu pulang dari sekolah atau dari surau. Kadang-kadang kakak-kakak kerja kilang yang ramai menyewa di sini pun sempat mengambil peluang mengusik Ajib.

"Lawa kain pelikat," usik mereka. Begitu besarnya pengaruh Ajib pada masyarakat di sini.

Tapi Ajib tak pernah ambil pusing.

Ajib bukan jenis lelaki yang gemar hu-ha. Ajib tak naik motor dan merewang sehingga malam buta. Ajib tak ada lesen motor pun. Apa yang Ajib tau cuma pergi sekolah balik sekolah, pergi surau balik surau. Nak tengok Ajib pergi ke arked permainan di pasar Keramat bersebelahan dengan masjid? Jangan haraplah. Sampai akhir zaman pun takkan ketemu. Ajib pun tak pernah keluar dengan mana-mana perempuan baik muda mahupun berumur. Budak-budak nakal yang iri hati (biasalah, Melayu) pada Ajib menggelar Ajib ‘tak cukup jantan’ kerana tak pandang perempuan. Kadang-kadang sampai yang panggil Ajib perempuan pun ada. Baguslah, sudahlah tak sekolah, Ajib itu yang dijadikan bahan mainan. Tapi tak ada yang berani hendak sentuh Ajib kerana datuk Ajib (Ajib anak yatim piatu) adalah guru silat di padang surau lama, jadi apa yang mereka mampu lakukan adalah dengan menjerit-jerit mengejek Ajib dari jauh. Bila Ajib menoleh, semuanya akan berlari tak cukup tanah bimbang wajah mereka dicam. Bila sedikit sudah sedikit mereka mengejek kembali.

"Ajib takde awek. Ajib takde awek. Ajib takde awek."

Ajib bukan tak mahu berpasang-pasangan. Cuma Ajib rasa dia masih belum bersedia, tambahan tak ada lagi wanita yang bisa menyentap hati batunya setakat mana dia hidup waktu itu. Itu kata Ajib. Dan situasi ini berterusan sekian lama sehingga Ajib berumur 21 tahun. Dan selama itulah gadis-gadis kampung memendam rasa pada Ajib seorang sehingga menimbulkan rasa kurang senang di hati pemuda kampung yang rata-ratanya pernah mengejek Ajib ketika kecil dulu, bimbang gadis idaman mereka terlepas dari genggaman.

Tapi itulah. Kadang-kadang dalam seronok melompat, tupai pun tergelincir juga,

Pada satu hari ini, adalah majlis keramaian kampung yang diadakan untuk menyambut pernikahan tok siak masjid dengan wanita pilihannya selepas 20 tahun membujang dek kematian bini pertama. Hai punyalah gembira orang kampung masa itu; ada yang berjoget ada yang berzanji ada yang berkompang. Mana tidaknya, tok siak masjid dah berbini semula. Lepas ini makin berserilah masjid lama kami tu. Kalau tidak malap aja macam rumah orang mati bini.

Kalau ditengok di muka tok siak tu, amboi! Sengih sampai ke telinga. Satu kampung dijemputnya. Dua ekor lembu tumbang untuk menjadi santapan para hadirin. Mak Jah Jono yang menjadi bini baru tok siak pun apa kurangnya. Sama sajalah laki bini.

Iyalah, orang baru kahwin.

"Untung tok siak. Jah Jono tu kan andartu. Anak dara lagi tu!" Helingan lucu yang disambar dengan gelak ketawa ramai orang kampung menunjukkan betapa gembiranya mereka malam itu.

Seperti biasalah, Ajib mesti datang. Lengkap berbaju melayu bersamping pelikat. Anak-anak dara semuanya tak berkelip melihat Ajib yang kini sudah matang dan ditumbuhi jambang. Macho kata orang putih. Kerja-kerja potong bawang apa semua di dapur tergendala seketika bila Ajib tiba di pintu rumah. Semua bertenggek di celahan dinding mengintai Ajib.

Dan seperti biasa Ajib akan duduk dengan orang tua-tua mendengar celoteh zaman tok nenek yang tak pernah lekang daripada bibir-bibir tua itu. Macam-macam cerita keluar. Dari hal kampung ke hal politik, dan tentunya yang paling kritikal adalah hal wrestling. Hui orang kampung kami memang suka wrestling. Kalau tengok wrestling ramai-ramai di kedai roti canai sebelah kedai Pak Harun, badan pun sampai bergerak sama. Orang dalam TV mengelak, eh
dia pun terbaling sama. Tangan menumbuk-numbuk ke udara, sampai orang kiri kanan naik risau kalau-kalau tangan singgah ke muka.

Dalam melayan kerenah golongan antik kampung itu, Ajib terpandang seorang perempuan di balik tirai yang digantung di pintu dapur. Rambut panjang ke belakang, lebat dan lurus. Berbaju kurung Johor warna kuning cair duduk bersimpuh berlantaikan tikar buluh dan bersandarkan dinding kayu. Putih melepak orangnya, nampak gayanya tinggi lampai. Tersenyum riang bergelak ketawa mendengar celoteh Mak Piah and the gang sambil mengupas kulit keledek untuk direbus dijadikan kuih keria dan dijamu kepada tetamu.

Tak berkelip mata Ajib menatap wajah budak perempuan itu, sehinggalah diri sang perempuan perasan dirinya ditenung lalu melihat tepat ke arah Ajib. Nah, mata bertentang mata sudah.

Ajib gemuruh tak terhingga. Pertama kali jatuh cinta, pandang pertama pula tu. Dalam mana Ajib kelam kabut itu, terlihat bibir merah itu mengukir senyum. Aduh! Mana tak sakit jantung dibuatnya.

"Hei anak jantan! Merenung anak dara macam nak keluor bijik mata!"

Kau memang spoil la Mak Piah. Macam manalah orang tua tu boleh perasan? Dan berdentanglah halaman dapur tok siak dengan hilai tawa Mak Piah and the gang, dan sekelip mata wajah manis yang ditenung Ajib sebentar tadi merona merah sebelum hilang di sebalik tirai dapur yang ditarik oleh Mak Piah.

Mak Piah pendengki.

Ajib tak tau yang budak perempuan itu adalah anak tok siak sendiri. Anak yang menyebabkan tok siak mati bini dulu. Tok siak tak mampu untuk membela budak itu lalu dihantar kepada kakaknya untuk dijaga. Kini selepas hampir dua puluh tahun berlalu, dah dewasa budak itu. Anak dara sunti lah kata orang Melayu adat. Yang memberitahu inipun adalah adik tok siak sendiri yang mana sama-sama belajar mengaji di surau dengan Ajib dulu.

"Sekarang abang dah nikah balik, boleh la si Nadia tu duduk di sini." Oh Nadia namanya.

Hai sejak dari hari itu Ajib selalulah datang ke rumah tok siak kononnya nak menjenguk dan bertanyakan hal agama. Tok siak yang sememangnya menganggap Ajib itu anaknya sendiri pun mulalah melayan bagai apa. Mak Jah Jono pun dua kali lima. Air kosong yang diminta, air kopi yang dihulurnya. Dan seperti biasa setiap kali Ajib datang ke rumah, Nadia akan berada di balik tirai dapur mengintai wajah Ajib sepuas hati. Ajib pun samalah tu.

Dari mata jatuh ke hati.

Cinta Ajib dan Nadia berputik dan mekar walau tak pernah berbicara. Hanya mata bertentang mata. Saling bertukar senyum dan berbalas sengih saja, berdindingkan kain tirai dapur.

Tok siak bukan tak perasan. Mak Jah Jono pun dah lama perasan. Sampai sudah masa untuk dua insan itu ditemukan. Satu hari ketika Ajib datang ke rumah seperti selalu untuk lawatan berkalanya, tok siak akhirnya memberikan kata putus untuk Ajib. Kata yang bisa merubah hidup Ajib selamanya.

"Nak kawan, kawanlah. Tapi jaga baik-baik."

Gembira Ajib bukan kepalang. Habis ayam itik di halaman rumah tok siak dijulangnya. Ruang halaman yang bersih pun disapu dua tiga kali. Lalang yang baru nak tegak melihat dunia habis ditebas licin oleh Ajib. Hai makin berserilah rumah tok siak. Nadia yang hanya melihat di beranda rumah tergelak riang melihat Ajib dikejar angsa muda milik Mak Jah Jono bila angsa itu pun cuba dijulangnya. Piat punggung Ajib kena sudu, tapi Ajib tak kisah. Senyuman Nadia bisa menghilangkan segalanya.

Hebohlah satu kampung mendengar Ajib bercinta dengan Nadia. Pemuda-pemuda kampung semuanya berpakat nak beri sedikit ajaran kepada Ajib. Beraraklah mereka dalam tujuh lapan orang ke rumah Ajib satu petang ni. Yang ada masalah kononnya dengan Ajib ini cuma seorang tu saja tapi biasalah, kalau bab-bab berbuat kecoh dan huru-hara ini mestilah ramai-ramai. Barulah meriah kata orang.

Tapi hajat nak menyentuh Ajib tak sampai ke mana. Semuanya lari lintang pukang apabila melihat datuk Ajib mencangkung tak berbaju dan hanya berseluar panjang hitam sedang mengasah parang panjang di halaman rumah, padahal parang itu nak dipakai buat menebas saja. Sampai di situ sajalah. Biasalah, samseng Melayu.

Yang anak-anak dara pun apa kurangnya. Semua pakat nak pulau Ajib. Tak mahu layan Ajib dan Nadia, kononnyalah. Dek rasa runtun hati dan kecewa yang tidak terkira banyaknya terhadap cinta yang tak berbalas. Bila Ajib melintas di depan rumah bila pulang dari surau, melelehlah air mata masing-masing menghempaskan rasa kecewa yang amat sangat. Sehinggakan ada dua tiga orang yang kahwin tiba-tiba, menunjukkan rasa protes terhadap cinta Ajib dan Nadia. Tapi bila waktu mereka bersanding dan Ajib muncul di depan tangga rumah sebagai jemputan, melelehlah air mata pengantin perempuan. Mana mempelai jantan yang bersanding sama di sebelah tak naik seriau.

Cinta Ajib dan Nadia berlangsung hampir setahun lamanya. Mereka sering ke surau sama-sama, minum air kelapa sama-sama, beri ayam makan sama-sama, semuanya sama-sama. Cuma bila bab dikejar angsa muda milik Mak Jah Jono, cuma Ajib saja yang selalu kena.

Sampailah satu masa ini Nadia perlu ke Batu Road untuk membeli kain ela untuk Mak Jah Jono yang kini dah pandai melaram untuk tatapan tok siak tercinta. Tapi Nadia ini tak mahu berteman walau dipelawa beberapa kali oleh Ajib.

Maka Ajib sekadar menemani Nadia ke stesen bas kecil di pinggir kampung untuk menghantar Nadia. Sejam setengah menunggu sambil berborak dan bergelak ketawa sehingga menimbulkan rasa berbulu oleh Man Tega dan rakan-rakan (samseng kampung yang lari lintang-pukang ketika nak bergasak dengan Ajib satu ketika dulu) yang kebetulan melepak bermain gitar di simpang sebelah kurang sepuluh rantai dari merpati dua sejoli itu, tibalah bas yang menuju ke bandar.

(Man Tega memang sukakan Nadia)

Sebelum Nadia melangkah naik ke dalam bas, Nadia berpaling ke arah Ajib dan menghulurkan tangan untuk bersalam tangan buat pertama kali dalam sejarah cinta mereka berdua. Datang semula gemuruh rasa hati Ajib bila kali pertama bersalam dengan tangan lembut halus licin milik Nadia. Tangan Ajib disalam kejap dan rapat sebelum dicium oleh wanita intan payung Ajib itu. Lama tangan itu diciumnya, itupun kalau bukan drebar bas mula menekan hon memanggil Nadia naik ke atas.

Bertentang mata, Nadia berkata, "Jadi suamiku ya, abang." Sejurus dia memalingkan badan menaiki bas dan meninggalkan Ajib yang berdiri terpinga-pinga. Dan seperti biasalah, habislah ayam itik di kampung menjadi mangsa luahan perasaan Ajib, dijulang semuanya kecuali seekor iaitu angsa muda milik Mak Jah Jono yang berperangai bagai singa dan setentunya bukan sesuatu yang boleh dibuat main.

Sementara menunggu kepulangan Nadia, Ajib menyusur teratak di sungai untuk ke seberang. Buah kelapa mawar muda dikaitnya barang dua tiga biji. Buah kelapa yang menakung air kelapa kegemaran Nadia itu direndamnya di dalam air sungai Keramat yang sejuk. Dalam pukul lima lepas-lepas Asar, buah-buah itu ditimbulkan semula dan dibawa ke stesen bas untuk dijadikan mangsa menghilangkan penat lelah Nadia yang sudah tentunya haus setelah seharian di kota. Betapa berkobarnya semangat Ajib waktu itu. Iyalah, bakal pengantin baru katakan. Dari jauh Man Tega merenung dengan perasaan yang berbulu lebat.

Tiga jam sudah Ajib menunggu.

Nadia masih belum sampai. Bas pun tak kelihatan, sedangkan hari sudah gelap dan bas terakhir patutnya tiba sejam lepas. Mana pergi si Nadia ni? Risau si Ajib bukan kepalang. Penat menunggu, salah sebuah kelapa itu Ajib kupas sehingga menampakkan tempurung lembut yang seterusnya Ajib ketuk menggunakan batu kerikil yang bersepah di tepi jalan. Berbantukan lampu minyak gas yang sememangnya diwakafkan di stesen bas itu, Ajib meneguk air kelapa itu dari lubang yang diketuk tadi.

"Ya Allah!" Bersemburan air keluar dari mulut Ajib dan bergolek kelapa tapi ke seberang sana jalan. Mulutnya disapu dengan lengan baju. Pahit berdesing. Air kelapa apa pahit macam ini? Tak pernah-pernah pun air kelapa pahit berdesing macam ini. Ini sudah ajaib, fikir Ajib. Dalam mana Ajib kebingungan memikirkan hal yang terjadi tadi, terdengar bunyi enjin dari jauh.

Nampak dua lampu yang bergerak seiringan menuju ke arah Ajib, tapi Ajib rasa itu bukan bas. Bila semakin menghampiri, Ajib cuma menyepetkan mata untuk meneka jenis kenderaan itu.

Jeep warna biru kehitaman. Polis?

Jeep yang dibawa agak laju itu melintas di hadapan Ajib yang ketika itu masih terpinga-pinga dan bingung dek air kelapa pahit tadi, menerbangkan habuk dan debu jalanan. Sejenak berfikir, Ajib rasa ada benda yang tak kena.

Serentak Ajib berlari mengikut jeep tadi yang membelok ke simpang belah kanan tempat Man Tega sering berlepak bersama konco-konconya. Berdesup perginya Ajib mengejar jeep tadi tanpa mempedulikan Man Tega dan konco-konconya yang masih ada bermastautin bersama gitar dan rokok, memekak memecahkan sunyi malam dengan laungan katak puru yang selalunya hingga ke awal pagi.

Melihatkan larian pecut Ajib, Man Tega yang kehairanan melompat turun dari bangku tempat dia bersinggahsana lalu memecut membuntuti Ajib. Konco-konco setia pun turut serta, cuma mereka mengekor menggunakan motor, tiga orang satu motor demi menyahut seruan kerajaan masa itu yang menggalakkan berkongsi kenderaan. Jimat minyak, kurang pencemaran.

Di pihak Ajib, kelihatan jeep tadi membelok ke dalam halaman rumah tok siak. Tepat sampai di hadapan tangga batu rumah tok siak, hon ditekan dua tiga kali mengejutkan golongan binatang berbulu belaan tok siak, termasuklah angsa muda Mak Jah Jono yang melompat naik ke atas jeep lalu menyudu cermin hadapan sebelum dihalau oleh tok siak yang kebetulan sedang baring-baring di pangkin waktu itu. Kelam kabut orang tua itu membetulkan ikatan sarung pelikat sebelum turun menyambut kedatangan dua orang berpakaian uniform polis.

Ajib yang masih berlari mengurangkan kelajuan lariannya akibat rasa semput yang mula membukit di dada. Sampai sahaja di sebalik jeep tadi, kedengaran suara tok siak menyebut Allahuakbar sebelum digantikan bunyi seakan nangka jatuh di atas tanah yang keras. Dari sebalik jeep Ajib melihat tok siak sudah terbaring di atas lantai sambil dua polis tadi cuba mengangkat badan tua itu. Mak Jah Jono di tingkap bagai histeria melihat suami tercinta pengsan di laman rumah.

Polis-polis tadi memapah tok siak naik ke rumah. Dalam kekelaman malam, Ajib terlihat ada kertas yang terjatuh di tempat tok siak terbaring tadi. Ajib menyusup laju di sebalik jeep dan merampas kertas itu dari genggaman tanah. Baris demi baris dibaca.

Man Tega yang baru sampai termengah-mengah di belakang melihat Ajib berdiri kaku membaca sesuatu. Nama Ajib dilaung tapi tiada balasan. Man Tega yang sememangnya panas baran (dan bodoh-bodoh alang) menepuk bahu Ajib setibanya dia di belakang Ajib, itupun tiada balasan lagi. Hai, macam bara api dicurah petrol, badan Ajib ditarik kasar sehingga berpusing menghadap
Man Tega.

Muka Ajib kaku dalam riak tidak percaya. Matanya terbeliak besar dan mulutnya terlopong besar melihat pada kertas yang masih dipegang rapat di tangan. Kertas dirampas Man Tega dengan kasar sebelum dibacanya dengan suara serak basahnya sekali keluar, merangkak-rangkak.

Sejenak kemudian kedengaranlah bunyi motor konco-kono Man Tega berdentum-dentam di halaman dan menarik perhatian polis-polis di dalam rumah yang berhempas pulas mengejutkan tok siak dari pengsannya. Mereka berdua meninggalkan tok siak dan Mak Jah Jono yang kelam kabut membacakan jampi serapah dan merenjis air ke atas dahi tok siak. Sampai sahaja di tingkap rumah panggung yang terbuka luas itu, terlihat sekumpulan anak muda sedang berkumpul mengelilingi Man Tega terbaring beralaskan badan Ajib. Dua-dua pengsan. Polis melopong, konco-konconya pun melopong.

Apa kena dua ekor ni?


* * *


"Nadia. Nadiaaa. Alahai anak aku Nadia. Alahai anak aku Nadiaa," bersahut-sahutan suara tok siak menangisi badan yang terkujur kaki di lantai rumah kayu itu. Mak Jah Jono dah tak termampu nak berkata apa-apa. Mak Piah and the gang di dapur pun menangis hiba sambil melakukan tugas rasmi mengupas bawang untuk menjamu hadirin yang datang. Man Tega yang sudah sedar dari pengsan malam tadi terhinggut-hinggut menangis sambil mencangkung di salah satu tiang rumah tok siak. Ajib masih lagi cuba dibangunkan oleh konco-konco Man Tega.

Baik pula mereka ni.

Dah nak tengahari baru Ajib berjaya dikejutkan. Terpisat-pisat, terpinga-pinga melihat sekeliling yang dipenuhi orang ramai. Rata-rata berketayap dan bertudung hitam. Di atas rumah kedengaran bunyi bacaan Yaasin mendayu-dayu. Di kanan pula kedengaran orang sibuk bertukang kayu. Kotak apa yang mereka ketuk tu? Ajib serentak bangun dan duduk untuk melihat dengan lebih jelas, dan serentak itu jugalah kedengaran suara lelaki melaung dari atas rumah. Dan semua orang di bawah rumah melemparkan pandangan ke tangga tempat suara tadi bergema.

"Haa tepi, tepi. Jangan halang laluan. Nak bawak jenazah turun ni."

Dan terlihatlah di mata Ajib beberapa orang menyusung sekujur badan berbalut kain kafan menuruni anak tangga. Tok siak mengikut di belakang dengan mata bengkak dan muka yang sememeh. Ajib yang baru saja sedar cuba mengingati apa yang berlaku sebelum dia pengsan malam tadi, dan belum sempat pun satu memori tiba di dahi, kedengaran pula suara Mak Jah Jono meraung.

"Alaa Nadia kenapa kau pergi nakk…Allah Nadia anak aku.."

Ajib pengsan lagi.


* * *


Mungkin Nadia sudah merasa yang dirinya akan pergi tak lama selepas dia meninggalkan Ajib di stesen bas tempoh hari. Dia meninggal digilis bas yang tiba-tiba terlepas dari brek dan bergerak tanpa disedari Nadia yang ketika itu sedang mengutip kain yang terlepas dari genggaman tangannya dan membelakangi bas yang bergerak itu. Nak dijadikan ceritalah, kata orang.

Yang hairannya, selain daripada dua jenis kain ela yang dipesan oleh Mak Jah Jono, Nadia ada membeli kain sepuluh ela, telekung dan selendang jarang, semuanya berwarna putih. Dan ada sepasang butang baju melayu lima biji berbatukan nilam putih yang tentunya bukan untuk tok siak kerana semua orang tahu tok siak tak pakai baju melayu. Tok siak cuma reti pakai jubah.

Yang seramnya, kain putih sepuluh ela itu bukan kain langsir atau kain tutup meja, tapi kain kafan. Dan kain kafan itulah yang menjadi balutan tubuh Nadia untuk berjumpa dengan tuhannya enam kaki di bawah paras permukaan bumi.

Mendengarkan cerita ini setelah bangun dari dua hari pengsan, Ajib bukan lagi Ajib yang dulu. Saban hari Ajib menangis di pondok menunggu bas bertemankan Man Tega yang turut sugul di singgahsana kayunya bertemankan konco-konco yang juga tumpang bersedih. Dua-dua makhluk itu bagaikan sudah tiada upaya untuk hidup. Dan itulah hakikatnya yang terjadi pada Man Tega yang akhirnya menurut jejak Nadia akibat tidak makan dan minum sehingga menyumbangkan kepada kerosakan organ dalamannya. Kubur Man Tega hanya lat dua kubur saja dari kubur Nadiah, itupun berselangkan kubur Pak Jang dan Mak Jang laki bini yang dua-duanya meninggal bila motor yang dinaiki terhumban masuk ke dalam parit pulangnya dari melawat jenazah Nadiah.

Entah apa punya kebetulan.

Nasib malang terus menimpa apabila datuk Ajib tiba-tiba meninggal dunia sebulan selepas itu akibat sakit tua. Sejak dari itu Mak Jah Jono dan tok siaklah yang menjaga Ajib. Puas sudah, sampai berbuih mulut memujuk Ajib namun Ajib tak pernah pulih. Ajib tetap akan menghabiskan masa menunggu di stesen bas kecil kampung itu dari pagi hingga ke petang hingga ke malam. Kadang-kadang Ajib akan membawa bersama buah kelapa muda kegemaran Nadia, serta memakai baju melayu berbutangkan set butang yang dibelikan Nadia dulu.

Berbelas tahun berlalu, saya yang dulu kecil kini pun dah besar panjang. Stesen bas kecil dulu pun dan berganti batu walaupun bas dah tak lalu di laluan itu lagi. Stesen itu pun dibina untuk Ajib yang masih setia menunggu sehingga ke hari ini. Mak Jah Jono dan tok siak pun dah lama padam. Angsa muda Mak Jah Jono pun dah lama habis. Kini harapkan orang-orang kampung sajalah yang masih mengenang jasa Ajib satu masa dahulu untuk menjaga diri Ajib yang hidup sebatang kara tiada bersaudara.

Dan setiap kali ada orang melintas di hadapan stesen bas tempat Ajib sering menunggu, akan kedengaranlah suara Ajib menegur.

"Tumpang tanya," katanya sebelum bertanyakan soalan yang sama setiap kali.

"Ada nampak Nadia?"


4 comments:

Farah said...

Baru nk layan feeling, dia wat lawak plak. Adoyai....

.MiN. said...

karang pjg2 sket..haha

miza said...

have you ever notice that most of your short stories are very... bleak... in nature. i like happy endings so i prefer to read cheerful stories.

but... nothing wrong with this story tho. we always know you're brilliant at weaving words and transport the readers into your story.

(dh komen aku macam kiss your ass plk haha)

Mighty Jacksparrow said...

thanks people :D

miza: it was intentional