Followers

Mighty Jacksparrow is an Earth-based sub-intergalactic blogger who enjoys writing and in the same time entertaining his ever-amusing will-kill-to-read fans with sensationally hilarious and at times dramatic musings. This blog offers endless ideas and results; they might be charming most of the times but could be offending in some others. Therefore, it is always noble to remind that if you enjoy the pieces, carry on reading, but if they upset you, do quietly leave like the evening breeze and not like exploding diarrhea, which exactly what you will look like if you ever lose it on me. Enjoy! :D

Thursday, October 04, 2012

Orang Bela Ikan, Aku Bela Cacing



Assalamualaikum dan hai.

Hari ini saya mahu berbicara tentang projek pelik terbaru saya sejak mendiami rumah sewa di luar kawasan kampus UTP iaitu projek membela cacing tanah di dalam rumah. Projek ini saya katakan pelik kerana pertamanya ramai peternak cacing biasanya membela cacing di luar kawasan rumah, dan keduanya cacing bukanlah satu binatang yang sesuai dijadikan belaan di rumah. 

Cacing adalah satu binatang yang mengundang maki hamun apabila dihulurkan kepada kebanyakan orang terutamanya perempuan. Badannya panjang, lembut dan berlendir (jangan fikir lain) dan meliang-meliuk apabila bergerak. Cacing akan terkejut apabila bertembung dengan makhluk lain yang mungkin difikirkan akan memakannya. Jadi apabila terkejut, cacing akan keluarkan cecair badan agar nampak kurus dan kecut. Bila kecut, nampak tak sedap, maka tidaklah dimakan. Bila keadaan dah difikirkan selamat, ia akan mula menyerap kembali air dari tanah dan menjadi gemuk kembali. 

Cacing tak ada gigi. Cacing makan benda-benda organik reput di dalam tanah dan menjadi agen mereput yang bagus. Cacing selalunya dibela untuk menguraikan bahan organik kepada vermikompos. Kalau untuk buat umpan memancing, selalunya orang akan korek sendiri. Mana ada masa nak bela-bela. Cacing makan tak berhenti. Kalau diikutkan, satu kilogram cacing boleh makan setengah kilogram sayuran dan sisa dapur dalam masa sehari. 

Namun demikian, untuk membela haiwan pelahap ini agak rumit. Cacing suka bergelap. Itu pasal dia duduk dalam tanah. Tanah pula tak boleh panas sangat, tak boleh lembap sangat. Macam-macam lah. Tapi kalau kena cara, cacing akan selesa di kediamannya dan akan makan tanpa henti. Apabila puas makan, cacing akan bertelur. Cacing adalah haiwan yang mempunyai kedua-dua alat kelamin. Jadi kalau ada seekor cacing pun yang dibela, tak ada hal. Puas bertelur, cacing akan makan semula. Dalam sebulan, 100 ekor cacing boleh jadi 1000 ekor jika cara belaannya betul. 

Jadi saya tak mahu cerita banyak-banyak. Kita lihat cara macam mana nak bela cacing dalam rumah dengan melihat gambar-gambar di bawah.




Mula-mula cari tong. Tak kisah tong macam mana, yang penting dinding dia tak lut cahaya. Cacing kan suka bergelap. Jadi jika dinding tong adalah lut cahaya, maka nanti cacing protes tak mahu makan dan akhirnya bunuh diri. Jadi yang rugi kita. Tong di atas saya beli di kedai plastik dan barang-barang merepek di pekan berdekatan. Harga dia RM18.80. Tapi disebabkan saya datang masa kedai dah nak tutup dan yang jaga kedai tersebut adalah seorang apek tua, jadi dia kasi diskaun. Dapat RM15.00. Ingat, timing itu penting. 

Tong plastik paling mudah sebab ia tak mudah reput dan kalis air. Kalau pakai tong kayu, lama-lama dengan tong-tong kayu itu sekali cacing akan makan. Seperti yang saya kat tadi, cacing adalah haiwan pelahap. 




Benda pertama kena buat selepas mendapatkan tong adalah mengoyak helaian suratkhabar seperti di atas. Lebar dalam satu inci dah cukup. Koyaklah sebanyak mana yang perlu. Keratan suratkhabar ini akan jadi tempat cacing melepak dan bertelur. Keratan suratkhabar ini juga adalah makanan kepada cacing. Cacing gemarkan kertas nipis, tisu dan sisa kopi dan teh. Lembut dan senang ditelan agaknya. 




Kemudian, pergi cari tanah yang lembut dan ada sisa-sisa organik. Saya ambil tanah seperti gambar di atas di bawah timbunan rumput dan kayu reput yang sebenarnya merupakan kediaman cacing. Bubuh tanah dalam satu inci atau satu setengah inci tingginya dari bawah tong. Pastikan tanah ini lembap tapi jangan sampai terlalu basah hingga air boleh bertakung. Cacing tanah tidak boleh hidup dalam air. Nama pun cacing tanah dan bukan cacing air. Kalau ada kayu-kayu reput dan rumput reput lagi bagus. Sembur sedikit dengan air agar tanah ini lembap. 




Kemudian, ambil keratan kertas suratkhabar tadi dan celup dalam air. Perah sedikit tapi jangan sampai kering. Cukuplah sampai tak ada air yang menitis keluar dari kertas apabila digenggam. Tabur rata di atas tanah tadi dengan ketebalan yang serupa. 




Bila semua dah cukup, sampai masa untuk cari cacing. Cari cacing senang saja. Lepas subuh, keluar ke padang depan rumah atau padang bola di kawasan perumahan dan korek di tempat-tempat teduh seperti di bawah pokok contohnya. Kalau nampak butir-butir tahi cacing di atas permukaan tanah, itu maksudnya ada cacing di bawahnya. Korek elok-elok dan jangan sampai mencederakan cacing, apatah lagi memutuskan badannya. Sakit mata memandang nanti. Cacing di atas adalah yang paling besar saya jumpa. Panjangnya ada dalam empat inci. Cari dalam 20-50 ekor. Tak payah banyak-banyak sebab cacing akan membiak. Nanti jadi rumah setinggan kerana terlalu banyak cacing. 




Buat dua lapisan tanah dan kertas bertimpa-timpa: 1 lapis tanah, 1 lapis kertas, 1 lapis tanah, 1 lapis kertas. Setiap lapisan adalah setebal satu sehingga satu setengah inci. Gambar di atas dah ada 2 lapis kertas dan 2 lapis tanah. Saya saja letak satu lapis lagi kertas basah di atas lapisan tanah terakhir untuk memastikan tanah kekal lembap. Juga saya tabur kulit mangga dan rumput-rumput reput di atasnya. Cacing aktif pada waktu malam. Jadi bila ada banyak makanan di permukaan tanah, cacing akan keluar dan berparti sehingga pagi. Dalam sebulan dua, siaplah tanah kompos yang dicerna daripada semua benda organik di dalam kotak ini. 




Pastikan kotak ini tertutup tapi jangan terlalu rapat. Cacing juga perlu bernafas. Cuba bayangkan sekiranya anda dikurung di dalam peti kedap udara bertemankan makanan yang banyak. Lambat laun anda akan mati tak bernafas juga. Jadi pastikan udara boleh masuk ke dalam bekas cacing. Jauhkan cacing daripada semut, itik, ayam, cicak, lipas, babi hutan dan apa segala binatang yang diketahui gemar makan cacing. Letak di bawah sinki atau mana-mana tempat yang gelap dan sejuk. Nak letak di bilik tidur pun tak apa. Kotak ini tak ada keluarkan apa-apa bau busuk selagi anda tidak masukkan makanan berminyak dan berunsurkan daging di dalamnya. Itu adalah benda yang pantang dimasukkan. Masukkan hanya sisa sayuran segar dan buah sahaja. Jangan nak lebih-lebih. Nanti anda bukan bela cacing tapi bela anak lalat. 

Sembur permukaan tanah dalam sekali sehari. Nanti bila cacing dah selesa, cacing akan makan sebanyak-banyaknya dan bertelur dengan banyak juga. Dalam kotak ini baru ada 32 ekor cacing setakat hari ini. Itu pun kalau tak ada yang mati. Semoga cacing belaan saya akan makan dan membiak dengan banyak. Cacing diketahui sebagai sumber makanan protein dan ada yang diproses menjadi alat kosmetik. Memandangkan saya bukanlah seseorang yang kekurangan protein mahupun saya mempunyai inisiatif untuk membangunkan industri kosmetik, cukuplah setakat saya bela cacing untuk mendapatkan baja saja. 

Cukup untuk waktu ini. Ada masa saya blog lagi. Esok nak buat rumah sungkupan untuk tanaman saya. Kayu dan paku semua dah ada. Nanti saya update di entry yang lain. 

Oh. Dah habis tulis baru perasan yang saya tulis dalam bahasa Melayu. Pergh.



p/s: periksa lipstick anda; adakah ia berunsurkan cacing? 



3 comments:

Qiez Medusa AR said...

I think this is like.. the 1st time ever you tulis in bahasa melayu kan?

and its not bad at all, Mr!

usually bila you tulis in english, the tone of your writing is tad serious. but this one, its "cute".

good luck with the cacings!

cik jaa said...

patut lah rasa pelik sedikit.. juga baru sedar jack menulis dalam bahasa melayu. apekaaaahhhh??

miza said...

cacing utk pet or utk compost?

klu utk pet, you are one weird guy...